“PESTA KOPI EXTENDED” KEMBALI DENGAN SOKONGAN TOURISM MALAYSIA MENERUSI PENGANJURAN “MISS SHOPHIA GO PESTA KOPI EXTENDED 2023”
KUALA LUMPUR, 5 SEPTEMBER 2023 – Edisi tahunan Pesta Kopi anjuran Pesta Kopi Ventures yang menghimpunkan komuniti peminat kopi daripada segenap industri, kini kembali dengan siri terbaru menerusi sokongan Tourism Malaysia. Diberi nama Miss SHOPhia GO Pesta Kopi Extended 2023, acara kali in bakal diadakan selama 3 hari bermula 29 September sehingga 1 Oktober 2023, bertempat di Pavilion Bukit Jalil.
Selain Tourism Malaysia sebagai Rakan Strategik Utama, program kali in turut mendapat kerjasama Pavilion Bukit Jalil selaku Rakan Strategik Lokasi dan Mister Coffee selaku Rakan Strategik Acara. Objektif utama penganjuran bukan sahaja untuk menyerlahkan kopi sebagai trend gaya hidup semasa, malahan memperlihatkan seni penyediaan kopi artisan sebagai salah satu peluang perniagaan yang kian menjadi pilihan ramai anak muda sekali gus mempromosikan industri kopi di Malaysia.
Mengekalkan konsep asal Pesta Kopi seperti tahun terdahulu, penganjuran Miss SHOPhia Go Pesta Kopi Extended 2023 akan menghimpunkan 40 usahawan kopi dari Cameron Highlands, Johor Bahru, Kota Bharu, Melaka, Alor Setar, Selangor dan Kuala Lumpur yang bakal memperkenalkan produk serta menunjukkan cara dan seni penyediaan kopi masing-masing.
Tourism Malaysia dengan kerjasama Sabah Tourism Board dan Sarawak Tourism Board pula akan membawakan kopi khas dari Borneo bagi memperkenalkannya kepada para pengunjung dari dalam dan luar negara.
Secara ringkasnya, Miss SHOPhia Go Pesta Kopi Extended 2023 terbahagi kepada 3 komponen utama seperti berikut:
- Usahawan kopi jalanan (street vendor).
- Pembekal peralatan dan bahan penyediaan kopi untuk pengunjung yang memiliki cita-cita untuk menjadi usahawan kopi.
- Perkongsian pengetahuan tentang proses penghasilan biji kopi serta penyediaan kopi terbaik.
Dalam meraikan “coffee culture” oleh komuniti peminat dan pengusaha kopi, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati pelbagai produk kopi yang dijual, malahan mereka juga dapat melihat sendiri pelbagai cara penyediaan kopi termasuk peralatan-peralatan mampu milik yang digunakan serta boleh dipraktikkan sendiri di rumah. Bukan itu sahaja, pengunjung turut berpeluang mendapatkan penerangan berkaitan cara memilih dan menilai biji kopi.
Selain itu, Pertandingan Barista Terpantas yang memasuki edisi kedua pada tahun ini, akan dianjurkan oleh Mister Coffee dan bakal disertai oleh para pembuat kopi dari seluruh negara. Cabaran penyediaan kopi ini menilai kebolehan para peserta untuk menghasilkan kopi dengan cara yang betul mengikut kuantiti yang ditetapkan tanpa menjejaskan rasa dan isi setiap cawan. Pada tahun lalu, pertandingan ini telah dimenangi oleh seorang pembuat kopi dari Kuching, Sarawak.
Bagi membantu usahawan- usahawan kopi di Malaysia, Tourism Malaysia akan bekerjasama dengan penyedia laman sesawang “petakopi.my” dalam penyenaraian kedai kopi dan kafe yang terlibat dalam kempen ini. Setakat ini, lebih 2,000 kedai kopi di seluruh Malaysia telah tersenarai di laman sesawang tersebut dan Tourism Malaysia berharap dapat mempromosikan “coffee mapping” ini sehingga ke peringkat antarabangsa.
Untuk sebarang maklumat atau pertanyaan lanjut, sila layari laman Instagram @Pestakopi atau hubungi Amiruddin Karim – ([email protected]) di talian 013-2199103.