PUTRAJAYA TRAVEL MART TINGKATKAN PROMOSI PELANCONGAN DI JOHOR
JOHOR BAHRU, 8 Jun 2023 – Tourism Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya harini menganjurkan program ‘Putrajaya Travel Mart’ dengan mempertemukan pengendali pelancongan dari Putrajaya dengan pembeli berpotensi dari Johor, Singapura dan Indonesia.
Program berkonsepkan Business to Business (B2B) itu bertujuan mempromosikan destinasi, produk serta pakej-pakej pelancongan kepada kira-kira 80 wakil agensi pelancongan dan industri dari Johor, Singapura dan Batam, Indonesia.
Inisiatif ini bertujuan merancakkan promosi pelancongan dan menawarkan tarikan-tarikan yang terbaru di Putrajaya yang meliputi produk ekopelancongan, agropelancongan, gastronomi dan segmen pelancongan minat khas. Selain itu, program ini turut diteruskan dengan penganjuran ‘Putrajaya Travel Fair 2023’ yang akan diadakan di Kompleks Beli Belah Angsana Johor Bahru Mall pada 9 hingga 11 Jun 2023.
Antara produk-produk pelancongan menarik di Putrajaya adalah seperti kedai coklat terbesar di Lembah Klang iaitu Souq Shoppe @ Putra Mosque, Putrajaya Story di Presint 1, Cruise Tasik Putrajaya, Glamping @ Wetland Putrajaya, dan Kompleks Nasyrul Quran yang merupakan pusat percetakan Al-Qur’an kedua terbesar di dunia.
Selain itu, pengunjung juga boleh beriadah di Anjung Floria, dan melawati Taman Ekuestrian Putrajaya, Taman Wetland, Putrajaya Seafood Restaurant, Taman Cahaya Putra Perdana & Tangga Putrajaya, Kebun Komuniti Presint 9, 14 & 16, dan yang terbaru adalah Wetland Studios Putrajaya. Kemudahan bagi mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) bertaraf antarabangsa juga seperti Putrajaya
International Convention Centre dan Hotel Pulse Grande dan Hotel Everly Putrajaya juga antara produk yang ditawarkan.
Dato’ Dr. Ammar Abd. Ghapar, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, penganjuran program ‘Putrajaya Travel Mart’ merupakan salah satu usaha berterusan Tourism Malaysia dalam meningkatkan kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara ke Putrajaya selari dengan aspirasi kerajaan untuk terus memperkukuhkan sektor pelancongan dalam negara.
“Melalui pertemuan antara pengusaha pelancongan ini, pakej pelancongan dapat ditawarkan kepada pelancong untuk merasai sendiri pengalaman melawat produk-produk pelancongan yang unik dan menarik di Putrajaya.
TAMAT
Tourism Malaysia