Tourism Malaysia

TOURISM MALAYSIA PERKUKUH JARINGAN KERJASAMA PELANCONGAN KE ARAH PERSEDIAAN PENGANJURAN TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2025

KUALA TERENGGANU, 13 Mac 2023 – Sebagai persediaan ke arah penganjuran Tahun
Melawat Malaysia 2025, Tourism Malaysia mengalu-alukan kolaborasi serta jalinan
strategik dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan lagi daya tarikan negara ini di
mata dunia.

Bagi menjayakannya, Tourism Malaysia menganjurkan program pitching dan bengkel
perkongsian ilmu bersama media tempatan mengenai pembentangan pelan serta
terma rujukan agensi pengiklanan luar negara yang berlangsung di Hotel Paya Bunga,
Kuala Terengganu pada 13 dan 14 Mac 2023.

Antara objektifnya ialah untuk mempertingkatkan promosi di media massa dan media
sosial dengan jalinan kolaborasi bersama media-media utama tempatan bagi pasaran
domestik. Promosi ini adalah melalui publisiti dan slot di media digital, media cetak,
TV dan rangkaian radio tempatan, serta program travelog dan kandungan berjenama.

Selain itu, aktiviti pengiklanan ini akan turut diperluaskan ke luar negara dalam
memastikan keberadaan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan
khazanah alam seperti pantai dan kepelbagaian flora dan fauna bagi melonjakkan lagi
aktiviti pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2025.

YBhg. Dato’ Haji Zainuddin Abdul Wahab, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata,
promosi awal akan dipergiatkan oleh Tourism Malaysia sebagai persediaan untuk
VM2025 bagi mencapai sasaran ketibaan 23.5 juta pelancong antarabangsa dengan
unjuran pendapatan RM76.8 bilion pada tahun 2025 nanti.

Tourism Malaysia telah menganjurkan sesi makan malam yang diwakili oleh Encik
Mohd Roslan Abdullah, Pengarah Bahagian Pengiklanan dan Digital di Taman
Tamadun Islam (TTI) River Cruise bersama 9 agensi media tempatan.

Rentetan dari ucapan belanjawan tahun 2023 yang telah dibentangkan oleh YAB
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada 24 Februari lalu, kerajaan telah
memperuntukkan sejumlah RM250 juta untuk sektor pelancongan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM135 juta diperuntukkan untuk promosi
pelancongan antarabangsa dan domestik manakala sebanyak RM115 juta sebagai
geran padanan bagi menggalakkan aktiviti promosi, penganjuran acara dan usaha
sama dengan syarikat penerbangan antarabangsa bagi menggalakkan penerbangan
sewa khas.