Tourism Malaysia

KEMBARA CUTI-CUTI MALAYSIA THE GIRLS REPUBLIQUE BERSAMA TOURISM MALAYSIA

 

Sebanyak 12 pempengaruh media sosial yang bernaung di bawah jaringan The Girls Republique, menyertai program Kembara CutiCuti Malaysia The Girls Republique bermula hari ini untuk menghasilkan kandungan media sosial serta mempromosikan destinasi-destinasi pelancongan menarik di sekitar negeri Kelantan dan Pahang.

Program kerjasama strategik bersama Tourism Malaysia itu antara lain bertujuan memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia, khususnya Generasi Z dan Millennial, untuk lebih aktif melancong di dalam negara serta mencipta kenangan indah bersama rakan-rakan sekali gus merancakkan lagi kempen pelancongan domestik.

Antara lokasi pelancongan yang dilawati termasuklah Muzium Negeri Kelantan, Street Art Kota Bharu, Kampung Kraftangan, Pantai Senok dan Pantai Nusuk di Kelantan. Di Pahang, aktiviti pelancongan yang diketengahkan pula melibatkan kawasan Cherating seperti menyaksikan kelip-kelip dan menelusuri mangrove river cruise selain meluncur di Cherating.

Dato’ Dr. Ammar Abd. Ghapar, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, generasi muda pada masa kini, gemar untuk meneroka serta mencuba pengalaman baharu dan menjelajah ke tempat-tempat menarik bagi menenangkan minda daripada rutin harian yang sibuk.

“Selain daripada acara-acara yang dirancang, para peserta juga akan membuat persinggahan di beberapa hentian menarik sepanjang perjalanan, lantas menjadikan pengalaman ini lebih bermakna dan mengujakan dengan beberapa elemen kejutan semasa bercuti,” katanya.

Video-video promosi yang dihasikan akan digerakkan menerusi strategi “crossplatform promotion” untuk memastikan capaian yang lebih meluas di kedua-dua laman media sosial Instagram dan TikTok di bawah kendalian The Girls Republique dan Tourism Malaysia, bermula Oktober ini.