Tourism Malaysia

JERAYAWARA JOM CUTI-CUTI MALAYSIA 2023 JELAJAH KE IPOH

Tourism Malaysia hari ini meneruskan Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia (JCCM) 2023 dengan menjelajah ke AEON Mall Kinta City Ipoh, Perak selama tiga hari dengan tawaran diskaun pembelian pakej pelancongan sehingga 50 peratus.

Program pameran dan jualan JCCM 2023 yang bermula dari 14 hingga 16 Julai ini dijayakan oleh 26 penggiat industri pelancongan tempatan yang terdiri daripada ejen, pemilik produk pelancongan, dan hotel yang menawarkan lebih 100 pakej pelancongan yang menarik.

Antara pakej menarik yang ditawarkan kepada pengunjung ialah Pakej Explorasi Royal Belum, Pakej Pesta Bulan Mengambang di Muar, Pakej Durian ‘Madness’, Pakej Eksplorasi 8 Pulau di Semporna, Pakej Jelajah Kota Kinabalu dan Kundasang, Pakej Percutian di Gunung Jerai, Pakej Cuti-Cuti Cikgu, Pakej Minat Khas Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Tourism Malaysia, Pakej Selam Skuba ‘Dive Into The Unimaginable’ 2023 dan Pakej Pelancongan Arkeo dan Geopark Lembah Lenggong.

En. Iskandar Mirza Mohd Yusof, Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia berkata, siri keempat penganjuran JCCM 2023 diteruskan ke Ipoh, Perak bagi menggalakkan warga Perak untuk terus melancong dalam negara sekali gus merancakkan lagi aktiviti pelancongan domestik.

“Para pengunjung boleh mendapatkan potongan diskaun bagi pakej pelancongan dengan harga yang berpatutan dalam tempoh tiga hari sepanjang jerayawara ini berlangsung. Selain itu, pengunjung juga boleh merancang percutian bagi cuti sekolah penggal kedua yang bakal tiba pada hujung bulan Ogos,” katanya.

Sejak dilancarkan pada 25 Februari lalu, JCCM 2023 telah memulakan siri jelajahnya ke empat lokasi dan akan diteruskan ke empat lagi lokasi di seluruh negara iaitu di AEON Mall Shah Alam (25-27 Ogos), Sunway Carnival Mall (29 September – 1 Oktober), Sunway Pyramid (27-29 Oktober) dan AEON Mall Bandaraya Melaka (10-12 November).

Selain daripada pameran dan jualan pakej pelancongan, JCCM 2023 turut menyajikan persembahan tarian kebudayaan dan muzik, demonstrasi kraftangan, kuiz pelancongan serta cabutan bertuah kepada pengunjung yang hadir.