TOURISM MALAYSIA LANCAR PAKEJ PELANCONGAN ARKEO & GEOPARK LEMBAH LENGGONG
IPOH, 6 Jun 2023 – Tourism Malaysia hari ini melancarkan Pakej Pelancongan Arkeo & Geopark Lembah Lenggong bagi mempromosikan warisan arkeologi serta Lenggong Geopark yang diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan kedua di negeri Perak selepas Geopark Lembah Kinta.
Sebanyak 48 pakej pelancongan telah dibangunkan dengan kerjasama 15 operator pelancongan di Wilayah Utara dan Tengah yang antara lain menawarkan lawatan ke tapak arkeologi, pendakian bukit, penerokaan gua, boat cruise, memancing dan berkhemah.
Antara yang dihimpunkan di bawah pakej ini termasuklah Pakej Lenggong Geopark and Ecotourism, Pakej Rusa Grill & Fun Trip @ Lenggong, Pakej Lawatan Ilmiah @ Lenggong, Pakej Lenggong Heritage Tour, Pakej Discover Historical & Cultural Geo Lenggong, Pakej Lenggong “Jelajah Gua & Makan Durian” dan Pakej Mini Amazon Paddling @ Lenggong.
Pembangunan Pakej Pelancongan Arkeo & Geopark Lembah Lenggong adalah susulan daripada bengkel dan lawatan produk selama 4 hari 3 malam yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara Zon Tengah, Majlis Daerah Lenggong dan Tourism Perak dengan penglibatan seramai 26 operator pelancongan dan jurupandu geopark (geoguide) pada Disember tahun lalu.
Bengkel berkenaan telah memberikan banyak pendedahan mengenai potensi pelancongan di tapak-tapak arkeologi dan geopark serta produk pelancongan menarik di sekitar Lembah Lenggong seperti Gua Kajang, Gua Teluk Kelawar, Bukit Sapi, Bukit Jawa, Bukit Bunuh, Masjid Raja, Mata Air Telaga Biru dan Galeri Arkeologi Lembah Lenggong.
“Di samping itu, pembangunan pakej ini juga dapat memangkin ke arah usaha pemeliharaan warisan dan budaya tempatan selain membangunkan ekonomi masyarakat setempat sekali gus mempergiatkan aktiviti pelancongan lestari,” katanya.
Kesemua pakej pelancongan ini telah dimuatkan dalam sebuah risalah Pakej Pelancongan Arkeo & Geopark Lembah Lenggong yang kini boleh diakses di laman sesawang Tourism Malaysia iaitu www.malaysia.travel.
TAMAT
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.