Tourism Malaysia

TAWARAN BAHARU PAKEJ “BOLA IN THE CITY WITH SABAH FC – A TRIP OF EXCITEMENT”

KOTA KINABALU, 28 April 2023 – Tourism Malaysia dengan kerjasama Kelab Bola Sepak Sabah (Sabah FC) dan lapan agensi pelancongan di Sabah hari ini melancarkan pakej sukan pelancongan 3 Hari 2 Malam “Bola In The City With Sabah FC – A Trip of Excitement!” pada harga lebih murah iaitu RM330 seorang.

Pembeli pakej tersebut bukan sahaja berpeluang bertemu dan berinteraksi dengan para pemain Sabah FC, malah akan dibawa menyaksikan sesi latihan di Stadium Likas iaitu sehari sebelum aksi sebenar Liga Super 2023 bermula. Lebih menarik, mereka turut berpeluang menonton perlawanan bersama barisan pemain legenda bola sepak Sabah seperti Hassan Sani, Matlan Marjan, Burhan Ajui, Jelius Ating dan ramai lagi.

Elemen pelancongan yang digabungkan dalam pakej ini pula menawarkan pilihan untuk melawat beberapa destinasi atau aktiviti pelancongan seperti Pulau Manukan, Rumah Terbalik, Tamparuli; Monsopiad Heritage Village, Penampang; Tagal Tinopikon Walk, Penampang; menikmati makanan laut di Restoran Terapung Kg. Nelayan atau restoran makanan tradisi di Kota Kinabalu atau aktiviti urutan kaki.

Majlis pelancaran pakej “Bola In The City With Sabah FC – A Trip of Excitement!” yang berlangsung di Hilton Kota Kinabalu, telah disempurnakan YB Khairul Firdaus Akhbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Turut hadir ialah YB Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri Pelancongan, Budaya & Alam Sekitar Sabah merangkap Pengerusi Sabah Tourism Board; Encik Iskandar Mirza Mohd Yusof, Pengarah Kanan Bahagian Domestik & Acara [Menanggung Tugas Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan)] Tourism Malaysia; Puan Noredah Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Tourism Board; Encik Ibrahim Othman, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Sabah dan Puan Trecey J. Tojuka, Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Sabah.

YB Khairul Firdaus berkata, pelancaran pakej tersebut bukan sahaja berupaya menarik lebih ramai peminat bola sepak ke stadium, malah berupaya membantu meningkatkan kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara ke Sabah.

“Saya amat optimis dengan perkembangan ini kerana dianggarkan sejumlah 80 ke 100 orang peminat setia akan mengikuti pemain atau pasukan kegemaran mereka ke mana sahaja perlawanan bola sepak berlangsung di seluruh Malaysia,” katanya.

Sabah FC merupakan salah sebuah pasukan yang beraksi cemerlang dalam saingan Liga Super tahun lalu apabila menduduki tangga ketiga di belakang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu. Sinonim dengan jolokan ‘Sang Badak’, pasukan ini pernah muncul sebagai juara Piala FA pada musim 1995 serta menjuarai trofi Liga Perdana pada tahun 1996.

TAMAT

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, dan TikTok.