Tourism Malaysia

Siri Kedua Kempen ‘Shop & Be Rewarded 2.0’ Kembali

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya, Tourism Malaysia hari ini melancarkan siri kedua Kempen ‘Shop & Be Rewarded 2.0’ serta siri kedua Pameran Miss SHOPhia Go Travel 2022 dalam usaha menyemarakkan pelancongan domestik.

Kempen ‘Shop & Be Rewarded 2.0’ adalah sebahagian daripada Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (PRE 2.0) yang menawarkan penebusan e-baucar untuk rakyat Malaysia di bawah Kluster Pelancongan Minat Khas menerusi segmen beli-belah dengan kerjasama Persatuan Pengurusan Kompleks (PPK) Malaysia.

Kempen ‘Shop & Be Rewarded 2.0’ siri pertama yang berlangsung selama 16 hari dari 20 Ogos hingga 4 September 2022, telah berjaya mencatatkan penebusan 30,027 e-baucar dengan nilai jualan sebanyak RM8,824,696.05.

Ekoran sambutan cukup menggalakkan yang diterima daripada rakyat Malaysia, siri kedua Kempen ‘Shop & Be Rewarded 2.0’ akan dilanjutkan untuk berlangsung selama 23 hari bermula 22 Oktober sehingga 13 November 2022.

Sehubungan itu, pengguna sekali lagi berpeluang menebus e-baucar bernilai RM30 bagi pembelian minimum RM100 di 35 pusat beli-belah yang mengambil bahagian. Pengguna hanya perlu mengimbas kod QR di kedai-kedai dalam pusat beli-belah berkenaan bagi tujuan pendaftaran dan penebusan e-baucar.

Encik Iskandar Mirza Mohd Yusof, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia berkata, barangan fesyen dan perhiasan diri masih menjadi trend keutamaan pembelian diikuti dengan barangan digital dan kelengkapan rumah.

“Saya berbesar hati melihat Kempen ‘Shop & Be Rewarded 2.0’ siri pertama yang kita laksanakan ini telah disambut baik oleh rakyat Malaysia. Saya difahamkan nilai jualan yang berjaya diraih pada hari pertama kempen ini berlangsung mencecah RM2,053,511.98,” katanya.

Sementara itu, siri kedua Pameran Miss SHOPhia Go Travel 2022 yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini di Paradigm Mall, Johor Bahru, dianjurkan dengan sokongan Visa sebagai rakan pembayaran pilihan.

Disertai oleh 16 pempamer, pengunjung berpeluang mendapatkan lebih banyak tawaran pakej pelancongan minat khas termasuk pakej inap desa, taman tema dan selam skuba selain pengisian demonstrasi kraftangan dan masakan, persembahan kebudayaan serta cabutan bertuah.

Siri pertama Pameran Miss SHOPhia Go Travel 2022 yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Tourism Malaysia di 1-Utama Shopping Centre dari 19-21 Ogos 2022, telah berjaya merekodkan jumlah jualan sebanyak RM64,064.00.

Untuk maklumat lanjut berkenaan pameran ini, sila layari laman sesawang Tourism Malaysia di www.malaysia.travel .